Sunday, May 16, 2010

Ketandusan Pemain Muda Malaysia akan menyebabkan Malaysia Tidak Dapat meraih kemenanagan Piala Thomas

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd Nadzmi Salleh mengakui ada yang tidak kena dan agak memalukan apabila skuad negara masih bergantung kepada pemain tua untuk beraksi dalam acara berpasukan.

Malaysia terpaksa memanggil Wong Choong Hann, 33, untuk menganggotai skuad Piala Thomas apabila mendapati tidak mempunyai pemain muda berbakat menggalas peranan pemain perseorangan. Pasukan kebangsaan juga pada asalnya memanggil gandingan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tetapi menolaknya kerana mempunyai komitmen ini. Apabila Nadzmi diajukan pertanyaan sama ada skuad negara harus berasa malu kerana terpaksa bergantung kepada kudrat tua, Nadzmi berkata, “Ya.”

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan program kita kerana terpaksa bergantung pemain veteran,” kata Nadzmi. “Kita lihat ada jurang besar antara perseorangan pertama dengan pemain lain.

“Justeru, kita harus mencari sebabnya mengapa keadaan sedemikian dan sehingga kini kita masih tidak dapat melahirkan pemain berbakat sebagai pengganti,” katanya.

Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan kenyataan Nadzmi itu dengan merujuk kepada skuad Denmark, yang masih dianggotai Peter Gade, 34, dan Lars Paaske-Jonas Rasmussen yang sudah mencecah usia 36.
Tetapi berbanding dengan Malaysia, pemain tua Denmark sentiasa berada pada tahap fizikal dan permainan yang tinggi masih dapat bersaing dalam kelompok lima terbaik dunia sedangkan pemain veteran Malaysia begitu banyak kekurangan.

Kekalahan Indonesia Bermaruah

Kekalahan Indonesia Dalam pelawanan akhir piala Thomas amat bemaruah.Ini Kerana barisan pemain yang di tonjolkan oleh pasukan China benar-benar kuat dan mantap.Pasukan Indonesia memberi tentangan yang hebat.Tetap nasib tidak menyebelahi pasukan indonesia.Tahniah...

2 Jaguh Terbaik Asia Berentap Lin Dan dan Taufik Hidayat


Pertembungan klasik kali ke-10 antara dua jaguh dunia itu

TIADA istilah paling tepat kecuali 'buku bertemu ruas' untuk menggambarkan pertembungan di antara Lin Dan dan Taufik Hidayat pada pentas final Piala Thomas di Stadium Putra, hari ini. Kedua-duanya diakui menjadi ‘kunci’ yang akan membuka laluan kemenangan pasukan masing-masing dengan China mengintai kejuaraan kelapan mereka, manakala Indonesia berhasrat menjulang piala keagungan itu buat kali ke-14. Berdasarkan rekod, pertembungan hari ini adalah yang ke-10 di antara kedua-dua pemain itu sejak 2001 dengan Lin Dan, juara dunia tiga kali dan pemenang emas Olimpik Beijing 2008 muncul pemenang enam daripada sembilan pertemuan lalu.

Kali terakhir mereka bertemu di Terbuka Perancis, Januari lalu, yang menyaksikan Lin Dan mudah mengatasi Taufik, pemenang emas Olimpik 2004 dan juara dunia 2005, 21-6, 21-15 dalam tempoh 38 minit.

Tetapi kedua-duanya mengakui rekod bukan ukuran dalam menentukan pemenang perlawanan, hari ini ketika masing-masing bertekad menjulang piala itu dengan Lin Dan berharap memenanginya buat kali keempat, sementara Taufik kali ketiga.

“Daripada rekod, Lin Dan mengatasi saya tetapi saya percaya pertembungan esok (hari ini) pasti berbeza. Jika dia mempunyai alasan memenangi perlawanan itu, saya juga mempunyai sebab untuk menang,” kata Taufik.
“Antara sebab saya mahu menang kerana saya amat merindui piala ini selepas kali terakhir memenanginya pada 2002. Lagi pun, di sini (Stadium Putra) adalah istimewa kerana buat pertama kali saya memenangi piala berprestij itu di sini (2000),” katanya.

Lin Dan pula berkata, walaupun media sering melaga-lagakannya dengan Taufik tetapi dia sebenarnya ingin menjadi kawan baik kepada pemain Indonesia yang satu tahun lebih tua daripadanya.

“Siapa menang dan bagaimana permainan esok (hari ini) bukan isu. Sebenarnya, saya harap dapat menjadi kawan baik kepada Taufik. Kami ingin menceriakan dan mewarnai dunia badminton dengan kehebatan serta kemahiran permainan masing-masing,” katanya

Harapan Yang Tinggi Terlerai Ditangan Korea



KOREA Selatan mematahkan ego China selepas membuat kejutan besar menewaskan juara bertahan itu 3-1 dalam perlawanan akhir Piala Uber yang penuh dramatik di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. Pengurus pasukan, Kim Jong-soo dan anak anak didiknya berjaya melesetkan ramalan awal betapa China terlalu unggul untuk dijinakkan apabila menukar tempelak itu menjadi satu semangat menumbangkan keangkuhan lawan untuk membawa pulang Piala Uber buat kali pertama selepas lima percubaan serta memastikan mereka menyertai kelab elit empat negara trofi keagungan berpasukan wanita itu. Kejayaan itu sekali gus memaksa Li Yongbo menelan kata-katanya sendiri selepas ketua jurulatih China itu sebelum ini dengan angkuhnya bernada yakin bahawa Korea Selatan akan tetap berputih mata pada pertemuan final keenam kedua-dua pasukan berkenaan.

Keputusan
Bae Seung Hee mn Wang Yihan 23-21, 21-11
Lee Hyo Jung-Kim Min Jung mn Ma Jin-Wang Xiaoli 18-21, 21-12, 21-15
Sung Ji Hyun kk Wang Xin 14-21, 21-16, 7-21
Lee Kyung Won Won-Ha Jung Eun mn Du Jing-Yu Yang 19-21, 21-14, 21-19

Kemarau Kemenangan Untuk Pasukan Malaysia

Malaysia 'tepati' ramalan
Oleh Lukman Salleh, Hussain Said dan Hasnira Hassan
bhsukan@bharian.com.my
2010/05/16
Kalah dari segi komitmen, tekad dan semangat juang

SKUAD Piala Thomas negara hanyalah sekadar barisan kelas ketiga. Daripada awal lagi sejak Malaysia menawarkan diri selaku hos Piala Thomas, sudah dinyatakan bahawa tuan rumah tidak akan menjulang trofi keagungan kerana tidak mempunyai pemain yang berkaliber dan mampu untuk menggalas cabaran diletakkan. Tetapi kemenangan jaguh perseorangan negara Lee Chong Wei di Seluruh England awal tahun ini, menyebabkan semua pihak termasuk peminat bersemangat bahawa skuad negara mampu meraih Piala Thomas, sedangkan fakta sebenar mengenai pasukan kebangsaan diketepikan.

Cara China beraksi di hadapan ribuan penonton Malaysia dan gaya mereka memperlekehkan dan memperkotak-katikkan anak buah Rashid Sidek dan Rexy Mainaiky, dan membuatkan Lee Chong Wei, beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong seperti baru semalam bermain badminton.

Apa yang menyedihkan, skuad Malaysia bukan hanya kalah dari segi skil kepada pemain China, tetapi juga komitmen, tekad dan semangat.

Malah keseluruhan aksi skuad Malaysia dalam Piala Thomas cukup mengecewakan. Daripada tiga perlawanan, Malaysia hanya menang sekali menentang Denmark di suku akhir, tetapi dikejutkan Jepun 2-3 dalam saingan kumpulan sebelum tersungkur di kaki China.
Dengan Malaysia mengharapkan sepenuhnya kepada Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong, kedua-dua tidak dapat menampilkan aksi bertenaga menentang China sekali pun di peringkat kumpulan tampak begitu ampuh.

Masalah dengan beregu kedua Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari merumitkan lagi pilihan Malaysia ditambah dengan perseorangan kedua Wong Choong Hann yang begitu lemah dan prestasi Hafiz Hashim, yang tidak boleh diramalkan, membuatkan Malaysia begitu goyah.

Dan kepincangan itu dapat dirasai selepas kekalahan Malaysia kepada Jepun, sebelum mereka bangkit seketika menentang Denmark sebelum dihumban ke lembah keaiban dengan oleh China.

Datin Seri Rosmah Mansur sedih kita gagal raih gelaran

Oleh Khairunnisa Kamarudin
bhsukan@bharian.com.my
2010/05/16

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyuarakan perasaan sedih gara-gara kegagalan skuad Piala Thomas negara menjulang trofi berkenaan selepas kecundang 3-0 kepada juara bertahan, China dalam peringkat separuh akhir, malam kelmarin.

Apapun, beliau yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata dia yakin skuad badminton negara mampu merebut kembali piala itu pada edisi kejohanan yang bakal menyusul, dua tahun lagi. “Saya sedih dan minta maaf atas kekalahan yang menimpa pasukan kita pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas kelmarin. Kita tidak boleh menafikan China benar-benar handal dalam sukan ini. “Saya berterima kasih kepada skuad negara kerana sudah berusaha bersungguh dalam perlawanan itu. Saya harap mereka dapat menjadikan iktibar kekalahan ini dan membuat persiapan lebih jitu untuk merampas kembali trofi ini dalam kejohanan berikut,” katanya berucap ketika menghadiri majlis Anugerah Tokoh Ibu Cemerlang Parlimen Cheras sempena sambutan Hari Ibu anjuran Wanita Umno Cheras di Kuala Lumpur, semalam.

Thursday, May 6, 2010

Piala Thomas



inilah piala yang menjadi rebutan banyak negara untuk menjuari kejuaran ini....

Latar belakang Piala Thomas

Kejohanan pertama diadakan di Queen's Hall, Preston, England. Malaya memenangi kejohanan pertama ini dengan menumpaskan Denmark 8-1 pada perlawanan akhir. Sejak itu Piala Thomas sentiasa dimenangi oleh pasukan-pasukan dari Asia.

Indonesia memenangi Piala Thomas sebanyak 13 kali diikuti China (enam kali) dan Malaysia (lima kali). Denmark yang berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak lapan kali bagaimanapun tidak pernah sekali pun memenanginya.

Bagi 12 siri pertama kejohanan ini sehingga tahun 1982, kejohanan ini berlangsung selang tiga tahun sekali. Mulai tahun 1984 kejohanan ini diadakan setiap 2 tahun dan diadakan bersama-sama dengan Piala Uber.

Piala Thomas

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, gelintar
Piala Thomas

Kejohanan Piala Thomas ialah sebuah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki. Kejohanan ini berlangsung setiap dua tahun. Kejohanan ini diberi nama Piala Thomas bersempena dengan nama bekas Presiden BWF, Sir George Alan Thomas yang menderma piala ini pada tahun 1939. Pertandingan pertama berlangsung pada tahun 1948-1949. Pertandingan bagi berpasukan wanita pula diadakan pada tahun 1956 dan dikenali sebagai Piala Uber.

Pusingan kalah mati menentukan juara, lima perlawanan (3 perseorangan dan 2 beregu) pada setiap satu peringkat. Pasukan pertama yang berjaya memenangi 3 perlawanan pertama mara ke pusingan berikutnya.

Juara bertahan Piala Thomas sekarang ialah China.