Monday, January 10, 2011

Rupa-rupanya ranjau Misbun belum berakhir

Rupa-rupanya ranjau Misbun belum berakhir

DALAM kita menyambut kemeriahan tahun baru dan kemenangan pasukan bola sepak kebangsaan merebut Piala Suzuki AFF, kita juga dikejutkan dengan Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan sebagai jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pastinya Misbun mempunyai sebab yang kuat sehingga mendorongnya melepaskan jawatan. Tanpa sebab yang cukup kuat, saya percaya beliau tidak akan mengambil tindakan yang begitu nekad sekali. Beliau rasanya telah cukup berkorban untuk sukan badminton negara, seperti yang ditunjukkan diketika isteri beliau mengalami masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan khusus di China.

Walaupun pernah dipotong gaji selepas Sukan Olimpik Athens 2004, dia masih menerimanya dan tidak meletak jawatan. Beliau telah dikatakan tidak melatih jumlah pemain yang cukup, namun beliau masih lagi tidak meletakkan jawatan.

Saya mengetahui dua insiden sebelum ini yang secara langsung melibatkan beliau, iaitu pihak Imigresen tidak membenarkan beliau mengiringi pasukan badminton keluar negara sehingga saya terpaksa menelefon Ketua Pengarah Imigresen pada malam itu untuk mendapatkan kepastian. Ada orang yang menyampaikan maklumat kepada pihak Imigresen, yang membuatkan beliau ditahan dari keluar negara untuk seketika. Apabila beliau dianugerahkan gelaran Datuk oleh pentadbiran kerajaan Melaka, ada juga pihak yang ingin menggagalkan hasrat tersebut, dengan memberikan maklumat yang kurang enak, tidaklah kira sama ada maklumat itu betul atau tidak.

Demikianlah di antara ranjau-ranjau yang dihadapi oleh Misbun dalam hidupnya setakat ini.

Semasa Sukan Olimpik 2004 Athens, ketika kontinjen negara berada dalam keadaan tertekan, kerana gagal memenangi apa-apa pingat yang diharapkan dari sukan badminton, beliau memberitahu saya bahawa jaguh yang akan muncul dalam beberapa tahun yang akan datang yang melonjakkan nama negara ialah Lee Chong Wei.

Misbun dibawa menjadi jurulatih BAM setelah semua jurulatih luar negara gagal memberi impak yang ketara, walaupun mereka ini dibayar gaji yang cukup lumayan. Selain dari itu, saya di pihak MSN bersetuju membawa Misbun menjadi anggota BAM dalam usaha untuk memulihkan masalah di antara BAM dengan Nusa Mahsuri. Beliau bersetuju dengan pelawaan itu dan MSN membayar gaji beliau secara langsung, bukannya BAM. Pada satu ketika, Chong Wei dibawa keluar dari jagaan Misbun, tetapi akhirnya beliau dikembalikan semula dan terus menyinar sehingga sekarang di bawah bimbingan Misbun.

Sebenarnya Misbun dan Chong Wei memerlukan BAM dan BAM juga memerlukan kedua-dua mereka. Misbun dan Chong Wei menyelamatkan maruah BAM dan semua pihak yang bertanggungjawab dalam sukan dengan memenangi pingat Olimpik Beijing 2008, satu-satunya pingat yang dimenangi oleh negara di temasya sukan tersebut.

Jika BAM mengatakan bahawa BAM mengeluarkan banyak wang kepada Misbun dan Chong Wei, maka adalah wajar kerana mereka berdua telah membayar BAM semula melalui kemenangan-kemenangan di Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan kejohanan lain selama ini. Mereka menjadi penyelamat maruah BAM.

Apa jadi dengan sejumlah wang yang banyak yang dibelanjakan oleh BAM kepada jurulatih dan pemain lain, tetapi tidak membawa apa-apa hasil pun.

Tan Sri Elyas Omar selaku Presiden BAM, membawa semua pemain terbaik ke Kuala Lumpur dengan menubuhkan Pusat Latihan Kebangsaan yang dilengkapi dengan jurulatih-jurulatih tempatan dan luar negara, khususnya dari Negara China. Pada masa itu, strategi yang digunakan cukup berkesan sehingga negara kita memenangi Piala Thomas pada tahun 1992.

Kita perlu mengkaji semula model yang diperkenalkan oleh Elyas ini setelah sekian lama dipraktikkan. Saya mencadangkan supaya beberapa pusat latihan diwujudkan dan jurulatih serta pemain-pemain dibahagikan mengikut pusat-pusat ini dan diletakkan di negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Melaka. Meletakkan semua pemain dan jurulatih yang terbaik dalam satu pusat latihan mempunyai risikonya sendiri. Kalau silap percaturan, kesemua bakat yang ada yang terkumpul dalam satu pusat latihan akan musnah dan gagal menjadi pemain yang cemerlang. MSN telah membantu tiga negeri membina gelanggang-gelanggang badminton di Kedah, Perak dan Melaka. Gunakanlah gelanggang-gelanggang ini untuk menjadi pusat latihan badminton untuk melahirkan pemain-pemain yang berkaliber pada masa akan datang dan bukannya menjadi tempat isteri orang kenamaan bermain badminton sahaja.

Utusan Malaysia
6 januari 2010

No comments:

Post a Comment